Thursday, July 24, 2014

Coretan Ramadhan




Salam Ramadhan Kareem..

Catatan 26 Ramadhan 1435H.

Aku harap masih ada Ramadhan tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya untuk aku. Ramadhan kali ini aku berada di tempat baru. Kehidupan yang agak berbeza dari dua tiga tahun kebelakangan ini. Aku bersyukur dan senyum seadanya. Alhamdulillah.

Sebelum nikah dulu, aku malas sahur. Tak pernah masak untuk sahur. Sayang sangat nak bangun tidur. Padahal everything mak dah sediakan. Di kampus, minum air kosong sahaja. Usai nikah, segalanya berubah secara total. Dulu aku kurang kefahaman tentang hikmah bersahur.

Ramadhan pada tahun pertama nikah, tak masak. Jujur aku tak larat semasa mengandungkan Ainul Mardhiah. Tahun kedua dan tahun ketiga, alhamdulillah gigih juga memasak dengan ipar dan biras. Dan Ramadhan kali ini, alhamdulillah tahun keempat meraikan bersama suami. Aku sedaya upaya memasak untuk beliau. Tak sangka bahawa Ramadhan kali ini aku begitu cerewet. Lauk sahur kena yang baru, bukan yang diperhangat! Nasib baik menu berbuka aku tak kisah sangat. Makan apa yang ada. Sekali sekala saja layankan keinginan.

Menu sahur kami simple. Telur kicap separuh masak. Adik-adik ipar aku pun dah naik ketagih menu ni. Asal aku balik rumah mertua, mesti ada yang request. Itu lauk kegemaran suami aku. Dulu masa mama dia masih ada, memang kegemaran mereka adik beradik. Lama juga aku belajar masak lauk ni, simple tapi kena cepat dan tangkas. Kena pandai main api. Kadang tak jadi separuh masak, reject! Aku pun dah tak lalu nak makan lauk ni, tapi bagi suami aku, telur kicap separuh masak itu dah cukup sempurna. Tak perlu ada tambahan lauk lagi.

Senyum. :)

Pabila akhir-akhir Ramadhan ini, masing-masing sudah berbicara soal Aidilfitri. Apa yang sewajarnya ialah semakin Ramadhan meninggalkan kita, semakin laju pecutan kita dengan amal ibadah dan kebaikan sebanyak-banyaknya. Aku juga antara yang terlalai. Allah. 

Aku cuba untuk jadi manusia yang jujur. Tapi jujur itu juga suatu perihal yang sangat berat. Kita mungkin mampu berkata apapun, tapi mampukah kita melunaskan apa yang diperkatakan tersebut? Wallahua'lam. 
Berilah kebaikan selagi kita mampu dengan sebanyak-banyaknya, sebab kita tak tahu kebaikan yang mana Allah akan terima. Ini medium aku. Aku cuba, dengan penulisan. Tak banyak, sikit pun aku cuba.

Apa yang aku kongsikan di sini, kebanyakkan-nya adalah perihal aku. Aku bukan yang terbaik, aku cuma insan biasa yang menyusuri denai kehidupan ini dalam menuju kepada Allah. Kalau aku salah, tegurlah. Tegurlah dengan cara yang kalian suka ditegur.

Salam Sayang,
Nur Laila.








Thursday, July 3, 2014

Aku dan Menulis?


Assalamualaikum wrh wbt.

"Kau menulis, ada ke orang nak baca?" Persoalan hati yang sengaja aku ada-adakan.
Lalu hati juga menjawab. "Sudah tentulah ada. Tak usah kau tanya lagi, aku sedia menjawab. Dialah suamiku!"

Haha. Tergelak dalam hati.

Aku percaya, dia selalu membaca penulisan aku. Sejak dari dahulu sebelum kami menikah, hingga saat ini. Dia jugalah yang banyak menegur hasil-hasil penulisan aku yang merapu. Walaupun kadangkala penulisan itu diiktiraf oleh sahabat-sahabat sebagai bahan bacaan yang menyeronokkan. Tapi kalau terlebih emosi, ia sangat tidak wajar untuk dikongsikan.

InsyaAllah, aku akan menulis walaupun statistik pengunjung tak memberansangkan. Dalam berdakwah sekalipun, kita yang kena sentiasa mendatangi orang untuk tujuan berdakwah. Tak perlu ada rasa kecewa kalau dakwah yang disampaikan itu seperti tak ada kesan kepada orang lain, sebab Allah yang mengurniakan hidayah kepada sesiapapun yang Dia kehendaki. Tak salah juga kita perbaiki diri bilamana kita merasakan bahawa pendekatan yang digunakan kurang sesuai.

Penulisan bukan dunia glamor. Tapi ada juga yang glamor hasil dari penulisan. Cuma aku tak harap glamor, aku harap hidup aku ada nilai. Ada manfaat walau sedikit yang dapat aku kongsikan. Aku tekadkan bulat-bulat dalam hati, suatu hari nanti aku bisa menghasilkan minima sebuah buku yang bermanfaat untuk tatapan para anak cucuku kelak.

Tak mustahil. InsyaAllah. Banyak sudah peruntukkan bahan bacaan yang dilaburkan. Hendak atau tidak sahaja untuk dimanfaatkan. InsyaAllah, semua bahan bacaan itu adalah pelaburan dunia dan akhirat. Jangan pernah merasa rugi dengan duit yang kita keluarkan untuk secebis ilmu. Yakinlah, Allah sentiasa melimpahkan niqmat dan rezeki-Nya sekalipun kita tak punya wang.

Aku juga harap, apa sahaja ilmu yang ada pada suami ditransfer kepada aku dan diolah dalam bentuk penulisan. Bukan sedikit ilmu-ilmu yang dikongsikan suami atau hasil daripada majlis ilmu, cuma ianya sangat lambat diproses dan lambat untuk meresap dalam jiwa kerana kurang fokus. Sejujurnya tak mampu nak fokus sebab melayani anak kecil yang agak aktif.

'Ah! Alasan kau saja.' 

Aku menulis dengan sepenuh jiwa. Kalau jiwa tak ada, tak rasa, tak faham, entah macam mana untuk disampaikan. Mungkin disebabkan aku yang agak gila-gila, aku selesa memilih gaya penulisan yang mudah hadam dan lebih dekat dengan pembaca. Kalau aku tulis bulat-bulat apa yang buku tulis, lebih baik aku hadiahkan je kalian buku tersebut. Haha.

Salam Sayang!